Monday, September 17, 2012

LASIK? Apa tu?

Assalamualaikum..


Apa itu LASIK?

LASIK ( dikenali sebagai Laser Assisted In Situ Keratomileusis ) ialah pembedahan pembetulan penglihatan untuk ralat pembiasan ( rabun jauh dan dekat, dan astigmatisme ) yang popular dan berjaya di seluruh dunia. Pembedahan LASIK buat kali pertama dijalankan lebih sepuluh tahun yang lalu, dan lebih 2 juta pembedahan LASIK sahaja telah dijalankan di Amerika Syarikat 2 tahun kebelakangan ini. Hari ini, prosedur ini banyak diamalkan di Eropah, Australia, Amerika Syarikat, Hong Kong, Jepun, Korea, Taiwan dan Singapura.

LASIK mengubah kelengkungan kornea. Prosedur 10 minit ini tanpa perlunya kemasukan ke hospital. Selepas memasukkan titisan mata anestetik untuk mengebaskan mata, doktor bedah mata yang terlatih akan membentuk satu lapisan nipis kornea (flap) dengan alat microkeratome ( suatu alat pembedahan mikro yang amat jitu ). Selepas flap ini dibentuk , ia diketepikan, dan permukaan kelengkungan kornea diubahbentuk dengan sinaran laser Excimer ( lapisan tisu kornea yang diubahbentuk ini amat nipis sekali, ketebalannya dalam lingkungan mikrometer ). Berlainan daripada sinaran laser biasa , laser Excimer membentuk semula permukaan tisu tanpa memberi kesan kerosakan haba atau keparutan kepada tisu-tisu sekeliling. Selepas sinaran laser ini, flap kornea yang masih terlekat dikembalikan ke kedudukan asal tanpa perlunya sebarang jahitan.



Sinaran laser mengubah bentuk kornea dan justeru kelengkungan kornea. Dalam kes rabun jauh (miopia) kelengkungan ini menjadi lebih rata; lebih curam dalam kes rabun dekat ( hiperopia ), atau lebih bulat dalam kes astigmatisme.

Wavefront LASIK (customised ablation) adalah cara pembetulan ralat refraktif yang terkini dan ia telah dibukti dapat memberikan mutu penglihatan yang lebih baik terutamanya dalam keadaan persekitaran yang malap seperti pada waktu malam.

Prinsipnya adalah sama dengan LASIK biasa, tetapi dalam pembedahan cara ini aturcara komputer laser kornea mengambil kira ralat-ralat refraktif yang lebih kompleks yang sedia ada dan khusus dalam setiap individu (customised) supaya ralat-ralat ini juga dihapuskan.

Jangka hasil Wavefront Lasik (customised ablation) ialah ia dapat memberikan kualiti penglihatan yang lebih baik dan sungguh memuaskan.

Apakah Jangka Hasil LASIK..

Hasil keputusan dari suatu kajian klinikal di A.S :

100% pesakit memperolehi kemajuan penglihatan tanpa penggunaan kaca mata.

95% mencapai penglihatan 6/12 atau lebih baik tanpa penggunaan kaca mata.

60-80% mencapai penglihatan 6/6 tanpa penggunaan kaca mata.

Matlamat pembedahan pembiasan adalah untuk mengurangkan kebergantungan pada kaca mata atau kanta lekap. Ia tidak boleh memperbaiki daya penglihatan.

Konsep ini adalah sangat mustahak supaya anda mempunyai jangkaan yang realistik. Walaupun ramai orang dapat mencapai penglihatan 6/6 tanpa kaca mata selepas pembedahan LASIK, sebilangan pesakit perlu memakai kaca mata untuk memandu pada waktu malam ataupun apabila membaca.

Siapakah Golongan Yang Sesuai Dengan Rawatan LASIK..

  • Rabun Jauh ( Miopia ) hingga 12.00 Diopter
  • Rabun Dekat ( Hiperopia ) hingga 6.00 Diopter
  • Astigmatisme hingga 4.00 Diopter
  • Umur 18 tahun ke atas
Tujuan bahan-bahan penerangan kami adalah untuk memberi pendidikan dan kesedaran mengenai faedah dan risiko pembedahan LASIK kepada anda. Walau bagaimanapun, kami menjemput anda menemui dan berbincang dengan doktor-doktor mata kami supaya anda dapat membuat keputusan yang bermaklum dan membuat pilihan sama ada anda ingin mengurangkan kebergantungan pada kaca mata / kanta lekap atau tidak.

0 comments:

♥ Followers ♥