Monday, April 11, 2011

7 pasangan.

Ramai pasangan bercinta bahkan yang sudah bertunang masih ragu-ragu untuk mendirikan rumah tangga. Biarpun telah mengambil masa mengenali pasangan sebelum mengikat perhubungan dengan tali pertunangan namun hasrat membina mahligai masih tertunda lantaran tidak pasti adakah si dia pilihan anda itu pasangan yang serasi dengan diri.

Tujuh tanda berikut mungkin dapat membantu anda mengukur keserasian anda dan pasangan. Teliti dan lihat sama ada ia wujud atau tidak dalam perhubungan anda berdua.

1. SELALU ADA DI SAMPING

Walaupun kadang kala anda tidak begitu memahami dirinya yang terlalu kompleks atau terlalu berbeza dengan diri anda namun dia mempunyai sesuatu yang istimewa. Dia selalu ada dalam apa jua keadaan sekalipun. Baik ketika anda berada dalam suka,duka mahupun kecewa. Jika dia ada dalam setiap situasi ini maka tidak syak lagi dia adalah pasangan yang terbaik untuk diri anda. Hanya mereka yang menghargai dan menyayangi anda saja akan setia berada di sisi dalam menempuh segala keadaan.

2. SERING MEMBANTU

Anda dan dia saling dapat membantu antara satu sama lain,bukan saja dalam urusan kecemasan,kewangan tapi juga dalam hal-hal yang paling remeh sekalipun seperti menghantar baju ke kedai dobi. Paling penting anda dapat melalui segala aspek kehidupan bersama-sama dan semua ini anda lalui dengan perasaan yang amat menyenangkan meskipun tidak melibatkan orang lain. Anda boleh berharap pada pasangan anda dalam apa jua keadaan.


3. BERKONGSI JIWA DAN EMOSI
Pernah atau tidak ketika anda berdua tidak bersapa selama beberapa hari kerana merajuk tapi kemudian bosan dan menghubungi pasangan. Dalam masa yang sama dia juga menghubungi anda. Atau pernahkah ketika anda teringatkan pasangan anda,telefon bimbit anda berdering menerima panggilan daripada dirinya. Ini semua adalah tanda anda berkongsi pancaindera ke enam bersama dengan pasangan anda. Tanda anda dan dia sebenarnya berkongsi jiwa dan emosi. Perasaan rindu,dapat membaca tindakan atau menduga reaksi pasangan pada situasi tertentu adalah anugerah yang tidak ternilai harganya pada pasangan yang telah dijodohkan bersama.

4. TIDAK MEMBOSANKAN

Imbas kembali bagaimana perasaan diri anda bila bersama dengan pasangan. Bukankah anda tenang,selesa dan bahagia ketika bersamanya. Berjam-jam bersamanya, setiap waktu dan setiap hari tidak pernah membuatkan anda bosan. Malah anda sentiasa menunggu bila waktu untuk bertemunya. Paling penting bukan anda seorang saja yang berasa sedemikian tapi pasangan anda juga begitu. Boleh dikatakan kehidupan anda sehari tidak lengkap tanpa kehadirannya.

5. TIDAK KISAH TENTANG SEJARAH SILAM

Diri anda yang dikenali oleh pasangan anda satu ketika dulu adalah diri anda sekarang. Dia tidak peduli dengan masa lampau anda dengan kekasih anda terdahulu. Dia tidak malu-malu untuk menceritakan masa lalunya. Dia tidak kisah dengan latar belakang keluarga anda ataupun pengalaman lampau anda. Kalau begitulah sikap pasangan anda terhadap diri anda bermakna dia memang amat mencintai anda dengan seadanya. Bukan kerana harta,darjat atau rupa tapi kerana diri anda yang sebenarnya.

6. JUJUR DENGAN DIRI MASING-MASING

Setiap orang dilahirkan tidak sempurna,pasti ada kekurangan yang dimiliki. Begitu juga anda dan pasangan anda. Namun petanda anda dan dia pasangan serasi adalah bila dia tidak malu-malu mengakui kekurangannya. Samalah dengan anda sendiri,anda tidak malu atau ego untuk menyatakan kekurangan anda. Bahkan ketika anda tampil tidak menarik (ketika sakit) di hadapan dirinya sekalipun dia tidak kisah. Dia telah menerima anda seadanya. Jika beginilah ikatan hubungan anda sememangnya anda ditakdirkan untuk bersamnya.

7. TIADA RAHSIA ANTARA KITA

Antara anda berdua tiada lagi rahsia. Dia adalah tempat anda mencurahkan segala-galanya daripada masalah peribadi,kerja dan juga tentang rakan-rakan. Malah anda juga berkongsi gosip terbaru dengan dirinya. Begitu juga dengan dirinya. Dia turut berkongsi rahsia paling dalam dengan anda tanpa sedikit pun perasaan ragu. Dia yakin bahawa anda akan menyimpannya sebaik mungkin. Kepercayaan ini adalah satu lagi tanda keserasian anda berdua.

Kesimpulanya adalah pasangan yang ditakdirkan bersama tidak akan takut mengalami suka duka bersama. Bergaduh,bertengkar adalah perkara biasa dalam hubungan tapi jangan jadikan perkara ini sesuatu yang membebankan anda berdua =)

0 comments:

♥ Followers ♥