Sunday, October 23, 2011

Result Oh Result, Tanda Dia Cinta Kita.

Hujan. Malam yang sunyi. Amani mengerling kepada telefon bimbitnya di sebelah bantal. 1.04 pagi. Daripada saat dia merebahkan badan ke atas katil lebih kurang pukul 12.30 malam tadi hingga waktu ini, matanya masih belum mahu bekerjasama dengan badannya yang mahu rehat awal.

Fikirannya terasa penat dan lelah. Resultnya jatuh teruk berbanding semester lepas. Jika dahulu , Alhamdulillah dia sempat menerima anugerah dekan tetapi semester ini, sekadar cukup-cukup makan, memang langsung tidak mencapai target.

Fikirannya melayang kepada sahabatnya nun jauh di utara, Syahirah. Malam tadi Syahirah menghantar mesej bertanyakan khabar, bertanya mengenai keputusan peperiksaan akhir lebih tepat. Amani tahu hati sahabatnya yang satu itu sedang berbahagia dengan keputusan peperiksaannya, melihatkan pada status di facebook tadi sudah mengiyakan telahannya.

Dia juga turut merasa tempiasnya. Iyalah, itu sahabatnya. Sahabat yang setia bersama susah dan senang. Sejak dari matrikulasi lagi. Ditakdirkan Allah S.W.T mereka belajar di universiti yang sama, juga di utara tanah air. Tempat yang dirasakan sesuai sungguh untuk belajar.

Walaupun dia perlu berkelana jauh dari keluarga demi mencari ilmu. Walaupun ada sahabatnya di sini musykil, bagaimana ia boleh belajar di tempat seperti itu, jauh dari bandar . Tetapi baginya, daerah itu menemukan dan mendekatkan dirinya dengan Dia yang tercinta. Daerah sunyi bak kata mereka, tetapi punya sejuta perkara yang mengajarnya tentang apa itu Cinta Yang Esa.

"Amani, are you sure you are okay? Menangislah kalau perlu, aku selalu ada kat sini untuk kau." Mesej Syahirah membuatkan dia tersenyum. Betul, inilah sahabatnya yang tidak pernah gagal membuat dia tersenyum.

"Aku okay je cik Irah wei. Aku pun tak tahu sebab apa tapi sampai sekarang aku tak nangis-nangis lagi. Yang aku rasa, kosong," Amani membalas, dia sendiri tidak pasti kenapa matanya degil sungguh hari ini. Dia hendak menangis, rasa sesuatu yang berat sedang dirinya pikul.

"Kau tahu kan kalau Allah S.W.T uji, tandanya Dia sayang kan? Allah S.W.T nak beritahu kau yang Dia sayang kat kau, Amani. Dia suka kalau kau mengadu pada Dia. Memang aku dapat result yang melepasi target, Alhamdulillah tapi aku sekarang takut, takut kalau-kalau nikmat kejayaan dunia ni buat aku terlalai, kau pun tahu ujian kesenangan ni yang mudah buat manusia jatuh. Aku tahu kau sedih, aku kenal kau bukan baru sehari Amani. Kalau kau tak boleh menangis sebab ni, cuba kau menangis sebab kau tak boleh menangis. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Mulk ayat 13, "dan rahsiakanlah perkataanmu atau nyatakanlah. Sungguh,Dia Maha Mengetahui segala isi hati." Allah S.W.T tahu apa saja dalam hati kau, Amani. Kalau kau rasa hati kau kosong, jangan cuba isi dengan dunia, tapi isi dengan akhirat. Maaf, tapi kau tahu kan aku suka kalau tulis mesej panjang-panjang ni. Hehe." Syahirah, Syahirah.

Antara kawan-kawan yang dia ada, Syahirah paling cepat tangkap apa yang dirinya perlukan. Memang sahabatnya ini suka benar menulis mesej panjang-panjang, inboxnya ini kadang-kadang tidak cukup memory. Mungkin kerana dirinya suka simpan mesej-mesej Syahirah, mesejnya penuh dengan isi walaupun gadis itu nampak bersahaja.

"Aku tahu Irah. Dia uji sebab Dia sayang. Aku tengah cuba untuk redha dengan semua ni. Aku kadang-kadang, bukan, selalu aku buta pada rahmat-Nya. Tak apa, kau punya mesej berisi, panjang pun boleh jugak ubat hati aku. Thanks ye Irah." Amani tersenyum.

"Sebut pasal ubat hati, tadi aku ada baca kat satu blog tadi, nak kongsi dengan sahabat aku yang tersayang ini. Penulis itu kata, kalau dah tahu kita macam jauh daripada Allah S.W.T dan rasa macam tak ada dalam rahmat Dia, janganlah pulak kita pergi dengar lagu, konon-konon nak lepas tekanan. Jangan pulak pergi tengok movie, konon-konon bagi free sikit otak daripada rasa sesak. Tapi cuba isi dengan sesuatu yang boleh bagi kita dekat dengan Allah S.W.T. Contohnya, baca tafsir al-Quran ke, dengar nasyid ke, pergi tengok keindahan alam ke, pergi baik-baik dengan kucing ke kan. Bab baca tafsir tu, aku dah pernah buat dan Alhamdulillah, aku bertemu ubat hati yan paling mujarab. Sebenarnya tak payah aku cakap pun, kau dah sedia tahu kan Amani?"

Syahirah memang gemar membaca blog, boleh melihat kehidupan orang lain katanya. Dia kata kadangkala apabila membaca kisah hidup orang lain, boleh buat kita rasa syukur sungguh-sungguh dengan hidup yang kita ada.

Matanya masih terkebil-kebil, biasan lampu dari ruang tamu membolehkan dia menatap siling biliknya.

Tadi ibu kata, "Amani kata Amani rasa macam jauh dari rahmat Allah S.W.T bila tengok result yang Amani dapat. Tapi sebenarnya bukan macam tu sayang. Allah AS.W.T sedang menyampaikan rahmat-Nya pada Amani, melalui ujian kegagalan ni. Allah S.W.T nak Amani lagi dekat pada Dia dan belajar untuk bersyukur dengan semuanya. Tak semua yang dapat ujian macam ni, rahmat Allah S.W.T itu luas, sayang. Cuba Amani tengok, kat luar sana. Mungkin ada yang lulus dengan cemerlangnya tapi dia sempat pergi celebrate dengan cara-cara maksiat, pergi konsert, kelab malam, bercampur lelaki perempuan. Nak tunjukkan betapa gembiranya dia. Allah S.W.T sedang uji jugak dia dengan kejayaan, ujian dia lagi besar daripada Amani." ibu mengusap lembut kepalanya.

"Allah S.W.T sayang anak ayah ni, sebab tu Allah S.W.T bagi Amani rasa yang Amani macam jauh daripada Dia sedangkan sebenarnya tak. Allah S.W.T nak tarik balik Amani agar selalu lebih ingat pada Dia. Ayah selalu ingatkan anak-anak ayah, jangan lupa sesaat pun pada Allah S.W.T. Jangan tinggal solat, jangan lupa al-Quran, jangan lupa apa Nabi S.A.W pesan." Ayah menambah. Amani tidak berani mengangkat pandangan. Hatinya dijentik rasa kesal kerana tidak tahu bersyukur.

"Orang-orang yang beriman dan bertaqwa itu apabila dia diuji dengan kesenangan, dia bersyukur dan bertambah keimanannya pada Allah S.W.T. Dan apabila dia diuji dengan kegagalan, dia juga pantas bersyukur dan bersabar dengan ujian itu. Sebab dia yakin Allah S.W.T sedang mendidik dia dan Insya-Allah ada pulangan yang lebih baik dari jalan-jalan yang dia tak sangka. Cuba kau tengok tafsir ni, "Barangsiapa bertakwa kepada Allah S.W.T nescaya Dia akan bukakan jalan keluar baginya, dan Dia memberikan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa bertawakal kepada Allah S.W.T nescaya Allah S.W.T akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya hanya Allah S.W.T melaksanakan urusan-Nya. Sungguh Allah S.W.T telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu." Ini ayat dua dan tiga dari Surah at-Talaq. Cantikkan apa yang Allah beri pada kita? Jadi, senyum saja, tak perlu kata apa-apa. Hehe."

Kata-kata daripada Syahirah waktu dia sedih sebab tidak yakin dengan kemampuannya dalam temuduga biasiswa hari itu kembali menerjah di ingatannya.

Betul. Dia selalu lupa untuk bersyukur dengan nikmat yang Allah S.W.T bagi pada dirinya. Dia ada ibu, ayah dan sahabat-sahabat yang selalu di sisi dia.

Subhanallah, Allah S.W.T tidak pernah lupa pada dia tapi dia selalu leka dengan dunia. Allah S.W.T ada berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 152, "Maka ingatlah kepada-Ku, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu ingkar kepada-Ku."

Tetapi dirinya sekarang, tidak bersyukur malah semakin menjauh pula daripada Allah S.W.T. Jahatnya dirinya, dia sedih dengan diri sendiri.

Dekatkan diri pada Allah S.W.T. Amani bangun daripada katil. Ya, dia perlu berubah. From good to better. Dia melangkah ke bilik air dan berwudhuk.

"Allahuakbar..."

Tuesday, October 11, 2011

Mana Mak??

Mana Mak?'


Jam 6.30 petang.


Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.


Ayah baru balik dari sawah.


Ayah tanya Mak, “Along mana?’


Mak jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.”


Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”


Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”


Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”


Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”


Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”


Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”


Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.


Dua puluh tahun kemudian


Jam 6.30 petang


Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.


Ayah tanya Along, “Mana Mak?”


Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”

Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”


Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”

Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”


Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.

Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"


Ateh menjawab, “Entah.”


Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.


Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”

Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.


Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.

Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.


Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"

Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”

Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.


Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.


Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nombor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.


Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"

Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .

Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.


Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.


Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.


Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.

Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.


Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.


Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."

Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.

Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.


Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.


Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.

Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.


Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.


Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.


Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat."


Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.


Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”


Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.


Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.


Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.


Beberapa tahun kemudian


Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.

Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”


Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.


Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.


Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.


Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.

Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..


Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.


Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,

"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.


Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" "

Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."


"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..

Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"


Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.

Friday, October 7, 2011

Kisah Bakal Suami Isteri



BAKAL ISTERI : Awak saya ada permintaan sebelum kita sah menjadi suami isteri esok boleh?


BAKAL SUAMI : Apa dia? ( tersenyum manis dan mengangguk)


BAKAL ISTERI : Tapi saya tak pasti awak akan setuju atau tidak?


BAKAL SUAMI : Cakap ajalah tak mengapa saya mendengarnya.


BAKAL ISTERI : Terima kasih kerana mendengar. Saya bukannya manusia sempurna. Saya hanya manusia biasa yang tak lepas daripada melakukan khilaf. Saya hanya manusia yang sedang berhijrah ke fasa baru.


BAKAL SUAMI : Setiap manusia tak lepas melakukan silap awak dan saya juga bukan manusia yang sempurna dah tak lepas daripada melakukan kesilapan. Alhamdulillah, awak sudah berhijrah ke fasa baru. Saya menerima seadanya awak.


BAKAL ISTERI : Saya mahu awak bimbing saya ke jalan yang benar. Agar saya selalu berada dilandasan yang benar dan dapat memperbaiki khilaf lalu saya.


BAKAL SUAMI : Insyallah aku bisa melakukannya.


BAKAL ISTERI : Saya mohon awak akan sentiasa menyayangi saya setulusnya. Menerima seadanya saya. Menerima apa pun kekurangan saya dan mengerti siapa diri saya ini.


BAKAL SUAMI : Insyallah. (Tersenyum lagi)


BAKAL ISTERI : Saya mohon awak memberikan kekuatan kepada saya, gagah berdiri seperti seperti dulu dan bangkit melupakan masa lalu.


BAKAL SUAMI : Saya selalu menyokong awak hingga nyawa diambil dari badan ini.


BAKAL ISTERI : Minta maaf kerana saya meminta semua ini tapi tidak pula saya meminta emas mahupun permata, cukuplah sekadar hidup yang senang dan selesa.


BAKAL SUAMI : Hmm (Masih melekapkan telinga ditelefon mendengar suara gadis yang akan sah menjadi isterinya esok)


BAKAL ISTERI : Tiada niat saya hendak memberatkan awak. Saya hanya mahu awak menjadi peneman saat suka dan duka, tawa dan tangis bersama. Sebagaimana saya mahu sentiasa berada disisi awak sebagai seorang isteri yang solehah.


BAKAL SUAMI : Awak akan mendengar saya, akan memujuk saya dan akan berada disisi saya kelak?


BAKAL ISTERI : Ya, mungkin kita tak pernah bersua muka. Mungkin kita tak pernah bercinta tapi saya yakin awaklah yang Allah SWT takdirkan untuk bersama saya.


BAKAL SUAMI : Saya yakin awaklah pencuri rusuk kiri saya selama ini.


BAKAL ISTERI : Saya bukan seperti wanita idaman awak yang lain. Bertudung labuh, berpengatahuan luas dalam agama jadi maafkan saya jika kekurangan saya ini akan membebankan awak.


BAKAL SUAMI : Tugas seorang suami membimbing isterinya. Insyallah, walau awak bukannya bertudung labuh saya tetap akan menyayangi awak seadanya.


BAKAL ISTERI : Kelak nanti saya mahu bertudung labuh jua, Boleh?


BAKAL SUAMI : Terima kasih. Insyallah, awak akan menjadi isteri yang baik dan saya akan berusaha menjadi yang terbaik untuk awak. Assalamualaikum.

♥ Followers ♥